suria

Restoran tawar pengalaman makan sambil bogel 'gulung tikar'

-foto FB o'naturel

RESTORAN pertama dan menjadi satu-satunya restoran di Paris yang membuka peluang kepada pelanggan untuk makan sambil berbogel akan ditutup pada 16 Februari ini, hanya 15 bulan selepas pembukaannya.

Ini kerana konsep sebegitu tidak cukup 'hangat' untuk menarik perhatian pelanggan.

"Terima kasih kerana menyertai pengalaman ini dengan hadir makan malam di O'naturel," umum pemiliknya, Michael dan Stephanie Saada, pasangan kembar berusia 42 tahun.

"Kami hanya mengingati masa-masa yang baik, bertemu dengan pelanggan yang menakjubkan dan pelanggan gembira berkongsi detik luar biasa ini."

Pasangan kembar ini, yang juga bekas jurujual insurans, mula membuka O'naturel pada November 2017, dengan melihat peluang dan potensi dalam aliran nudisme yang disebarkan di kota fesyen itu.

Bagaimanapun mereka sendiri memakai pakaian ketika berada di restoran itu, begitu juga dengan pelayan-pelayan.

Menurut Local, restoran itu menawarkan hiasan minimal dan masakan mewah bistro Perancis berharga €49 (RM230) untuk makan malam tiga hidangan.

-foto AFP/Getty

Pelanggan hanya boleh menjamu selera dengan membuat tempahan awal dan diminta untuk menanggalkan pakaian, dan menyimpan telefon dan kamera mereka di tempat khas.

Pelanggan lelaki diberikan selipar untuk dipakai manakalan pelanggan wanita boleh memilih untuk memakai kasut mereka sendiri.

Kerusi-kerusi dialas dengan kain hitam dan sentiasa ditukar. Tirai putih besar digantung di tingkap bagi menghalang pandangan orang ramai dari luar.

Sementara itu Independent melaporkan pengalaman itu terbuka kepada semua orang, sama ada ia satu 'inisiatif' atau ingin mencuba.

-foto AFP/Getty

Terdapat kod perilaku yang ketat mengenai perilaku walaupun mereka tidak memakai pakaian ketika makan.

Stephane berkata: "Kami mungkin menolak seseorang atau menjelaskan kepadanya bahawa jika dia ingin 'pergi lebih jauh' dia sepatutnya pergi ke tempat lain."

Walaupun dengan reputasi negara sebagai kota naturalis di dunia, Local melaporkan bahawa selepas pembukaannya, orang sekeliling mempertikaikan konsep tersebut, sambil menyatakan lokasinya terletak bersebelahan pusat jagaan kanak-kanak.

"Saya tak kisah langsung dengan nudisme di pantai," kata Donatella Charter, seorang jurubahasa berusia 42 tahun.

"Tetapi makan berbogel dengan orang lain, saya tak faham."

Restoran itu mungkin menjadi lokasi pertama di ibu negara Perancis untuk makan sambil bogel tetapi pastinya bukan yang pertama di dunia.

London membuka restoran berkonsep sama, Bunyadi, pada 2016 tetapi menurut The Guardian, terpaksa mengumpul dana pada 2017 untuk terus bertahan. -MontrealGazette

O'naturel, bogel, restoran

Artikel Lain