suria

Rasa terganggu, warga emas selamba potong rambut penumpang wanita tidur dalam bas

Gambar hiasan.

SEORANG warga emas yang menggelarkan dirinya sebagai tukang gunting rambut ditahan pada Ahad, didakwa memotong rambut seorang penumpang wanita yang sedang tidur di dalam bas.

Seorang saksi berkata, lelaki berkenaan berusia 65 tahun berasa terganggu dengan rambut panjang wanita itu yang mengerbang.

Mangsa yang memberitahu dirinya bertugas sebagai jurutera, menaiki bas Citybus laluan 107, dari Kowloon Bay ke Wah Kwai Estate di Aberdeen di Hong Kong.

Dia ketika itu sedang tidur di bahagian atas bas dua tingkat dalam insiden pada pukul 9 pagi Ahad.

Seorang saksi memberitahu media bahawa seorang lelaki duduk di belakang wanita berkenaan yang kelihatan terganggu dengan rambutnya yang 'tergantung' di belakang kerusi sehingga mencecah lututnya.

"Dia secara tiba-tiba mengeluarkan sebilah gunting dari beg dan memotong rambut wanita itu," kata saksi, sambil menambah bahawa suspek tidak kelihatan mabuk.

Para penumpang yang menyaksikan kejadian itu menghentikan tindakan warga emas tersebut dan mengejutkan mangsa.

Suspek cuba untuk melarikan diri sebaik tiba di Causeway Bay, tetapi penumpang lain menghalangnya.

Pemandu kemudian memberhentikan bas di Glouscester Road dekat Cannon Street, di mana pegawai polis menahan warga emas itu, kerana disyaki melakukan serangan yang boleh menyebabkan kecederaan pada badan.

Seorang jurucakap Citybus berkata, kira-kira 100 penumpang di dalam bas berkenaan ketika kejadian.

Ditanya mengapa membawa gunting bersamanya, suspek memberitahu dia seorang pendandan rambut. - South China Morning Post

Artikel Lain