PENGGUNAAN robot sebagai kakitangan hotel di Jepun nampaknya tidak berjalan seperti yang dirancang. Susulan kegagalan menjalankan tugas dengan baik, Hotel Henn Na yang turut dikenali sebagai Strange Hotel akhirnya menamatkan penggunaan robot. Selain gagal memahami kehendak penginap hotel, sejumlah robot yang ditempatkan di hotel itu juga sering rosak sehingga mengganggu operasi hotel. Antara kejadian yang dilaporkan, robot mengejutkan pengunjung hotel itu pada tengah malam kerana menyangka dengkuran mereka sebagai arahan suara (voice command). Selain itu, robot yang ditempatkan di kaunter juga gagal menjawab soalan tetamu. Kerosakan yang sering berlaku juga menyebabkan pemilik hotel terpaksa menanggung kos baik pulih. "Ianya lebih senang dengan adanya robot, tak adalah kami selalu dipanggil oleh tetamu yang memerlukan bantuan," ujar seorang kakitangan sewaktu robot diperkenalkan di hotel itu, suatu ketika dahulu. Hotel yang dibuka pada 2015 itu menarik perhatian ramai dan disenaraikan dalam rekod dunia sebagai hotel robot pertama di dunia. Pada awalnya, ia dikendalikan 80 robot sebelum jumlahnya digandakan. Selain robot berupa manusia, mereka juga menempatkan robot anjing di hotel itu. Pengunjung bagaimanapun kecewa apabila robot berkenaan gagal berfungsi dengan baik sehingga menyusahkan penginapan mereka di situ. - Daily Star.