LELAKI tertua di dunia, Masazo Nonaka, yang dilahirkan selang dua tahun selepas adik-beradik Wright berjaya dalam eksperimen penerbangan, meninggal dunia pada usia 113 tahun, lapor media Jepun. Menurut Rekod Dunia Guinness, Nonaka dilahirkan pada Julai 1905 hanya beberapa bulan sebelum Albert Einstein menerbitkan teori khusus tentang relativiti. Guinness secara rasmi mengiktiraf Nonaka sebagai lelaki paling tua di dunia selepas kematian seorang warga Sepanyol, Nunez Olivera pada tahun lalu. "Kami terkejut dengan kehilangan figura penting ini. Dia kelihatan seperti dalam keadaan biasa pada hari sebelumnya, dan dia meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang kesulitan buat keluarga,” ujar cucu perempuannya Yuko, kepada Kyodo News di Tokyo. Nonaka yang menghembuskan nafas terakhirnya pada Ahad mempunyai tujuh adik-beradik lain. Beliau berkahwin pada tahun 1931 dan dikurniakan lima orang anak. Semasa hayatnya, dia menjalankan perniagaan rumah tumpangan di lokasi air panas di bandarnya. Laporan media tempatan menyatakan, selepas bersara, Nonaka banyak menghabiskan masa menonton acara sumo di televisyen dan menikmati manisan. Jepun merupakan salah satu daripada negara yang merekodkan jangka hayat tertinggi selain pernah mencatatkan beberapa individu yang tersenarai sebagai manusia tertua di dunia. Itu termasuk Jiroemon Kimura, yang memegang rekod sebagai manusia paling lama memegang gelaran manusia tertua dunia. Kimura meninggal dunia sejurus menyambut hari ulang tahun kelahiran yang ke-116 pada Jun 2013. Manusia paling tua yang pernah direkodkan ialah Jeanne Louise Calment dari Perancis, yang meninggal dunia pada 1997 pada usia 122 tahun.-Kyodonews.net