KAIN sarung dan langsir digunakan seorang banduan berbangsa Perancis bagi meloloskan diri dari pusat tahanan di Lombok pada Ahad petang. Felix Dorfin sedang menunggu tarikh dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan menyeludup dadah yang boleh membawa hukuman mati. Lelaki berusia 35 tahun itu melarikan diri melalui tingkap sel di tingkat dua pusat tahanan itu. "Dia melarikan diri menerusi tingkap menggunakan kain sarung dan langsir yang diikat sebelum memanjat turun," kata jurucakap polis Nusa Tenggara Barat, Komang Suartana. Dorfin dipercayai masih berada di Lombok dan kini operasi memburunya sedang giat dijalankan bagi menahannya. Warga Perancis itu ditahan September lalu selepas bagasinya dipenuhi empat kilogram dadah termasuk kokain, ecstasy dan amphetamin di lapangan terbang pulau berkenaan. Pada 2015, Indonesia telah menjatuhi hukuman mati terhadap warga asing termasuk Andrew Chan dari Australia dan Myuran Sukumaran yang mendalangi penyeludupan heroin di Bali. Seorang penjenayah Perancis yang juga menyeludup dadah, Serge Atlaoui telah dijatuhi hukuman mati pada 2007. Kejadian banduan meloloskan diri adalah insiden biasa di Indonesia di mana penjara dan pusat tahanan kebiasaannya sesak dan kawalan keselamatan yang lemah. Pada 2017 pula, empat warga asing melarikan diri dari penjara Bali, bagaimanapun tiga daripadanya berjaya ditahan dan rakyat Australia hingga kini masih bebas.-SCMP