suria

Lelaki tumpang rumah rakan selepas keluar penjara, rogol anak perempuannya sambil rakam video

Gambar hiasan

SEORANG lelaki pedofilia yang didapati bersalah merogol anak perempuan rakannya sambil merakamkan perbuatannya itu beberapa bulan selepas dibebaskan dari penjara, dijatuhi hukuman penjara sekali lagi, kali ini selama 19 tahun.

David Carroll, 28, kembali berhubung dengan seorang rakan wanitanya selepas keluar dari penjara dan merogol anak perempuannya ketika dia sedang tidur.

Dia merakamkan video perbuatannya jijik dan salah lakunya itu selama 18 minit, dalam kejadian di bilik tidur budak perempuan itu serta mengambil 10 keping gambar tak senonoh.

Carroll disabit bersalah dan telah menjalani hukuman penjara selama dua tahun pada Mac 2016 kerana memiliki gambar lucah.

Tidak lama selepas dia dibebaskan, dia kembali berhubung dengan seorang rakan lamanya, setelah mengetahui dia mempunyai seorang anak perempuan.

Ketika rakannya itu bertanya sebab dia dipenjarakan, Carroll memberitahu dia telah melakukan kesalahan 'komputer dan penggodaman'.

Dia telah memujuk rakannya itu untuk membenarkan dia bermalam di rumahnya pada Februari tahun lalu.

Tetapi ketika berada di sana, Carroll menyelinap masuk ke bilik tidur anak rakannya dan menyerang budak itu yang sedang tidur.

David Carroll

Carroll, dari Camborne, Cornwall, telah dijatuhi hukuman penjara selama 19 tahun di Mahkamah Truro Crown pada Jumaat selepas mengaku melakukan rentetan kesalahan seks, termasuk rogol.

Hakim Simon Carr memberitahunya: "Pada 11 Mac 2016 kamu dijatuhi hukuman penjara kerana memiliki gambar salah laku kanak-kanak dan pornografi melampau.

"Justeru, terdapat sekatan terhadap tingkah laku dan akses kamu ke internet.

"Apabila telefon kamu diperiksa seperti biasa, pada satu ketika seorang pegawai, saya yakin, berasa jijik dengan gambar yang dilihatnya.

"Kamu telah berkawan dengan wanita itu selama bertahun-tahun tetapi terpisah, sebelum beberapa waktu kemudian hubungan itu bersambung semula.

"Saya tidak ragu lagi bahawa sebahagian besar sebabnya adalah supaya kamu boleh mendapat akses kepada kanak-kanak.

"Dia sama sekali tidak menyedari kesalahan kamu dan gambar menunjukkan serangan 18 minit ke atas seorang kanak-kanak yang sedang tidur.

"Kamu merakam semua yang berlaku ini kerana mahu mengenang semula apa yang telah kamu buat.

"Kamu secara terang-terangan melanggar syarat yang ditetapkan untuk tinggal di rumah wanita ini.

"Sudah jelas sekali kamu mempunyai minat seksual yang mendalam terhadap kanak-kanak dan ini menjelaskan tujuan kamu berhubung dengan ibunya dan rakaman salah laku kamu."

Carroll mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan gagal mematuhi syarat-syarat yang dikenakan sebagai seorang pesalah.

Dia juga mengaku bersalah menyebabkan atau menghasut kanak-kanak di bawah umur 13 tahun untuk melakukan aktiviti seksual, dua pertuduhan mengambil gambar tak senonoh seorang kanak-kanak, merogol seorang kanak-kanak dan tiga pertuduhan menghasilkan gambar tidak senonoh.

Pendakwa Philip Lee berkata kebimbangan terhadap Carroll timbul pada September 2017 semasa lawatan seorang pegawai pemantau ke rumahnya.

"Telefon tertuduh menunjukkan bukti komunikasi seksual dengan seorang kanak-kanak.

"Pada April 2018 lawatan selanjutnya dilakukan berikutan dakwaan bahawa defendan menggunakan komputer seorang rakan untuk tujuan komunikasi seksual dengan seorang kanak-kanak.

"Ketika polisi tiba, tertuduh nampaknya telah memadam bahan tersebut.

"Pemeriksaan telefonnya bukan sahaja mendedahkan gambar tidak senonoh kanak-kanak tetapi juga foto salah laku terhadap kanak-kanak oleh pengguna peranti itu yang dirakam pada Februari 2018.

"Budak perempuan itu adalah anak perempuan seorang rakan lamanya. Ibunya rapat dengan defendan tetapi hubungan mereka terputus.

"Pada 10 Februari dia melawat dan bermalam di rumah rakannya itu. Rakannya tidak tahu tentang kesalahan lelaki itu atau risiko yang bakal ditimbulkannya terhadap anak perempuannya, jadi lelaki itu berterusan pergi ke rumahnya.

"Mujurlah anak itu sedang tidur dan tidak menyedari apa yang sedang terjadi."

Kenyataan peribadi ibu mangsa menunjukkan dia begitu menderita apabila mengetahui apa yang telah dilakukan Carroll kepada anak perempuannya.

Selepas kes itu, jurucakap NSPCC untuk South West of England berkata: "Carroll mengkhianati kepercayaan rakannya, menyalahgunakan anak perempuannya untuk kepuasan seksualnya sendiri." -Mail Online

pedofilia, rogol, budak perempuan

Artikel Lain