suria

Bos besar 'turun padang' edar Ang Pow, staf mula beratur sehari lebih awal

PEKERJA-pekerja Tencent Holdings sanggup menunggu di luar ibu pejabat gergasi internet itu di Shenzhen, China untuk menerima 'Ang Pow' daripada pengerusinya, Pony Ma Huateng dan beberapa pengurus kanan lain.

Barisan panjang mula terbentuk sejak pagi Selasa kerana masing-masing tidak mahu melepaskan peluang bersemuka dengan Ma yang mengamalkan tradisi Tahun Baharu Cina dengan mengedarkan paket merah berisi wang kepada kakitangannya.

Paling mengejutkan apabila ada staf yang mula beratur sebelum jam 8 malam Isnin.

Ini bermakna, kumpulan terawal ini sanggup berbaris dan menunggu semalaman selama lebih dari 12 jam untuk menjadi antara orang terawal menerima Ang Pow daripada Ma yang hadir memakai baju merah.

Foto-foto menunjukkan barisan panjang terbentuk di ibu pejabat baharu Tencent, yang terletak di Shenzhen, daerah Nanshan sehingga ke tingkat 48 bangunan, tingkat di mana pihak pengurusan kanan menyambut pekerja-pekerjanya yang beratur.

Kakitangan syarikat itu beratur dalam bentuk watak gergasi 'fu', yang bermaksud kemakmuran.

"Saya menunggu tiga jam dan keseluruhannya mendapat 200 yuan (RM120) daripada empat eksekutif," kata seorang pekerja Tencent.

"Bukan semua orang mendapat jumlah yang sama. Ia bergantung kepada betapa bertuahnya seseorang."

Selain Ma, Presiden Tencent Martin Lau Chi-ping, Ketua Pegawai Maklumat Daniel Xu dan Ketua Pegawai strategi James Mitchell turut hadir untuk mengedarkan Ang Pow.

Adalah menjadi kebiasaan di kebanyakan bahagian di China apabila syarikat atau bos memberikan paket merah kepada pekerja mereka untuk memulakan kerja pada tahun baharu.

"Saya dapat 100 yuan (RM60) daripada Pony dan 50 yuan (RM30) masing-masing daripada tiga yang lain," kata seorang lagi pekerja Tencent.

"Setakat yang saya tahu, Pony selalu memberikan 100 yuan (RM60) dan pengurusan lain memberikan 100 yuan atau 50 yuan."

Tencent tidak mendedahkan berapa ramai pekerja yang berbaris atau jumlah wang yang dikeluarkan.

Sebelum Tahun Baru Lunar pada tahun 2014, Pengasas Tencent, Tony Zhang telah menugaskan seorang ahli pasukan 'WeChat'nya untuk memperbaiki cara tradisional Tencent menyerahkan ang pow kepada kakitangannya.

Hasilnya, WeChat Red Packet telah dibangunkan sebagai cara untuk menghantar wang secara digital kepada rakan-rakan.

WeChat Red Packet telah menjadi sensasi dalam tempoh cuti pada 2014 dengan lebih dari 8 juta warga China menerima lebih dari 40 juta ang pow dalam tempoh itu.

Pengerusi eksekutif Alibaba Group Holding Jack Ma menamakannya sebagai 'serangan ke atas Pearl Harbor'.

Pengguna mula menghubungkan akaun bank mereka kepada 'dompet bergerak WeChat' mereka dan mula bersaing dengan Alipay, platform pembayaran mudah alih Alibaba yang bergabung dengan Ant Financial Services.

Pada tahun ini, 823 juta orang menggunakan perkhidmatan ang pow WeChat pada Malam Tahun Baru Cina, peningkatan 7.1 peratus dari tahun sebelumnya.

Memandangkan Tencent mempunyai lebih dari 50,000 pekerja di China dan luar negara, hanya mereka yang berpangkalan di Shenzhen dapat berbaris untuk mendapatkan ang pow.

Bagi kakitangan di Beijing dan di tempat lain, mereka berpeluang mendapatkannya secara digital dari syarikat.

Menurut seorang pekerja Tencent, sejumlah 400 yuan (RM240) telah dihantar ke akaun WeChatnya syarikat tanpa perlu beratur panjang. -SCMP

Artikel Lain