SEBUAH zoo di Gaza, Palestin menerima kecaman berikutan tindakan kejam mereka terhadap seekor singa. Haiwan tersebut yang ditempatkan di Zoo Rahah dipotong bahagian kukunya agar ia boleh didekati pengunjung. Penderitaan singa berusia 14 bulan itu didedahkan menerusi satu video tular. Lebih teruk, kukunya dipotong menggunakan pemotong yang biasa digunakan untuk tujuan berkebun. Difahamkan, tindakan itu membolehkan singa tersebut didekati pengunjung cilik. Pemilik zoo, Mohammed Jumaa, 53, berkata, dia ada sebab tersendiri untuk memotong kuku singa berkenaan. "Kami buang agar dapat mengurangkan sifat agresifnya," ujar Jumaa ringkas. Dalam pada itu, kumpulan hak asasi haiwan menyelar tindakan berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu perlakuan kejam. Namun, seorang penduduk tempatan berkata, dia menganggap tindakan itu tidak kejam, sebaliknya faham dengan niat zoo tersebut untuk memberi kegembiraan kepada kanak-kanak. - Mirror.UK