POLIS berdepan saat mengejutkan apabila menemui seorang lelaki dalam ketakutan dan cedera selepas berdepan serangan ganas oleh teman wanitanya. Jordan Worth menghalang Alex Skeel pergi ke tempat tidurnya, tidak memberi makan kepadanya, memutuskan pakaian apa yang boleh dipakainya serta memisahkan teman lelakinya itu daripada rakan dan keluarganya. Dia juga mengambil alih akaun Facebook Skeel. Lelaki itu telah ditikam dan disiram dengan air mendidih ketika polis menjumpainya, dedah sebuah dokumentari BBC. Apabila Worth dijatuhi hukuman penjara pada 2018, dia menjadi wanita pertama di UK yang disabitkan dengan tingkah laku paksaan dan pengawalan. Dokumentari bertajuk 'Disalahguna oleh teman wanita saya' menceritakan kisah Skeel, 23, dari Bedford, yang terselamat apabila kekasihya mengamalkan kekerasan dan bersikap kasar dalam perhubungan. Ia juga mendedahkan tentang cabaran polis Bedfordshire ketika menyiasat kes itu. Kes Skeel dijelaskan oleh pasukan itu sebagai salah satu kes keganasan domestik paling ekstrem yang pernah ditangani. Dalam program itu, Skeel memberitahu pengalamannya berada dalam cengkaman teman wanitanya yang ditemui di kolej ketika mereka berdua berumur 16 tahun. Keluarga dan sahabat juga berkongsi cerita melihat Skeel dipisahkan daripada mereka, tidak mampu buat apa-apa untuk menghentikan apa yang sedang berlaku, malah tidak menyedari betapa teruknya keadaan. Doktor yang memeriksa Skeel selepas Worth ditangkap menyaksikan pelbagai kecederaan fizikal dan bukan fizikal serta kesan psikologi akibat keganasan yang berlaku. Skeel diberitahu bahawa dia nyaris maut jika tidak diselamatkan. -foto REX Skeel berkata: "Saya percaya saya terselamat dalam situasi ini untuk menceritakan kisah ini dan membantu orang lain yang mengalami nasib sama. "Saya bersedia untuk menceritakan kisah saya, untuk menegaskan bahawa penderaan domestik juga berlaku kepada lelaki. Saya sangat gembira kerana BBC memilih untuk mendedahkan kisah ini." Pada April 2018, Worth dipenjarakan selama tujuh setengah tahun selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan tubuh yang teruk dengan niat dan berniat mengawal kelakuan, sekali gus menjadi wanita pertama di UK disabitkan dengan tingkah laku sedemikian. Mahkamah diberitahu bahawa Jordan Worth mempunyai dua sisi. Dia berasal dari keluarga yang penuh kasih sayang, manakala di sekolahnya dia adalah seorang yang hebat. Di Universiti Hertfordshire, dia mendapat ijazah dan mahu menjadi guru. Dia juga telah terlibat dalam beberapa kerja amal. Tetapi di rumah mereka di sebuah kampung di Stewartby, Bedfordshire, Worth bersikap kejam dengan mengawal setiap aspek kehidupan pasangannya. Jiran pasangan itu sering mendengar mereka bergaduh kata pendakwa Maryam Syed, selain bunyi barangan dilemparkan di dalam rumah. Dia berkata, jiran mendengar mangsa menjerit kepada Worth: "Jauhkan diri dari saya, kamu menyakiti saya". Worth pernah dilihat di tingkap bersenjatakan pemutar skru atau tukul, mahkamah diberitahu. Pada Jun 2017 jiran-jirannya menelefon polis yang terus ke rumah pasangan itu pada awal pagi selepas mendengar teriakan. Krew ambulans mendapati kecederaannya yang dirawat sendiri. -MetroUK