DOKTOR diberitahu bahawa mereka tidak melakukan sebarang kesalahan apabila membuat pembedahan caeserean kecemasan terhadap seorang wanita yang terbabit dalam kemalangan. Adele Barbour, 48, maut ketika cuba membelok ke kanan jalan dan merempuh sebuah kereta dalam kejadian di Nettleham, Lincolnshire. Paramedik bagaimanapun tersalah membuat diagnosis terhadap dirinya sebagai hamil lapan bulan. Dia menghidap penyakit scoliosis (tulang belakang bengkok) dan spina bifida (tulang belakang terbelah) yang membuatkan perutnya bengkak dan membesar. Bergelut dengan masa, doktor melakukan pembedahan terhadapnya tetapi seorang koroner telah mendengar bahawa tidak ada bukti menunjukkan ini menyumbang kepada kematiannya. Bagaimanapun, keluarga Adele tidak puas hati apabila mereka tidak dimaklumkan bahawa prosedur itu telah dijalankan. Adele Barbour. Kakaknya, Sarah-Jane Spence berkata: "Pada hari Adele dimasukkan ke hospital, doktor tak sebut pembedahan caesar ketika dia beritahu kami Adele sedang dipindahkan ke bilik bedah dan dia juga tak beritahu kami mengenainya ketika dia memaklumkan tentang kematiannya. "Adele hadir pada 17 Januari. Setibanya di hospital, doktor beritahu kami dia telah ke bilik bedah. Dia tak sebut langsung tentang dirinya sedang mengandung atau mereka telah menjalankan caesar. "Pegawai koroner menghubungi saya keesokan hari dan tanya jika saya tahu bahawa mereka sangka dia sedang mengandung dan saya kata saya tak tahu apa-apa tentangnya," katanya. Dr Anthony Leetman, yang menghasilkan satu laporan siasatan tindakan paramedik dan pasukan trauma, menyimpulkan bahawa penampilan Adele telah menyebabkan kru ambulans percaya dia hamil. "Para kru memberi amaran awal kepada hospital dengan agak betul. Munasabah untuk terus melakukan caesar. "Pasukan trauma hanya boleh teruskan dengan maklumat yang dikemukakan. Memandangkan maklumat yang diberikan kepada hospital oleh EMAS, tindakan sewajarnya telah diambil," katanya. Dia menambah kecederaan aorta yang dialaminya adalah sangat parah, kebanyakan orang tidak akan dapat hidup ketika dibawa ke hospital. "Malangnya, dia mungkin akan mati dalam apa jua keadaan." Koroner Marianne Johnson berkata: "Bukti yang saya dengar adalah tersalah diagnosis awal (kehamilan) tidak menyebabkan atau menyumbang kepada kematiannya. "Nampaknya semua usaha dibuat untuk menyelamatkannya tetapi kecederaannya sangat parah jadi apa yang berlaku tidak dapat dielakkan. "Kesimpulan saya adalah Adele meninggal akibat perlanggaran lalu lintas jalan raya," katanya. -MetroUK