LEBIH 4,000 penderma diuji untuk menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang menghidap penyakit kanser. Mereka merupakan 4,200 penderma berpotensi dari seluruh United Kingdom yang datang ke Sekolah Rendah Pitmaston, Worcester, semata-mata untuk mencuba nasib bagi pemadanan tisu dengan pesakit, Oscar Saxelby-Lee. Oscar perlu segera mendapatkan penderma sel stem selepas lebam yang dialaminya dikesan sebagai kanser. Kanak-kanak ini terpaksa bertarung nyawa dan hanya mempunyai masa tiga bulan untuk mencari penderma yang sepadan. Oscar menghidap penyakit T-cell acute lymphoblastic leukaemia (T-ALL), sejenis kanser darah disebabkan sumsum tulang yang tidak dapat menghasilkan sel darah yang normal. Dia kini menjalani rawatan kemoterapi selama empat minggu dan lebih 20 pemindahan darah dilakukan di hospital kanak-kanak Birmingham. Ibu bapa Oscar iaitu Olivia Saxelby dan Jamie Lee mula mencari penderma yang sesuai selepas anak lelaki mereka disahkan menghidap penyakit tersebut pada 28 Disember lalu. Olivia, 23, berkata: "Kami merasakan seperti tiada sinar harapan di penghujung, namun melihat keadaan Oscar yang tersenyum, dengan penuh tekad dan keberanian, kami kuatkan diri untuk untuk bersama lagi. "Sejak dari saat menghadapi ketakutan dan kekeliruan, kami menjadi semakin kuat berbanding sebelum ini. Oscar mengingatkan kami supaya melawan lagi dan terus berani. "Oscar merupakan seorang kanak-kanak yang ceria, penyayang dan penuh bertenaga walaupun hakikatnya dia terpaksa bertarung dengan penyakitnya itu," katanya. - Metro UK