TULAR di media sosial rakaman sebuah video yang memaparkan kanak-kanak lelaki tertiarap tidak bergerak dengan tangannya melekat pada tiang elektrik. Laporan Tribunnews menyebut, kanak-kanak berbaju biru itu terkena renjatan elektrik ketika secara tidak sengaja terpegang kabel yang tergantung pada tiang tersebut selepas keluar dari kolam renang dalam keadaan basah. Kejadian itu mencetuskan panik dalam kalangan pengunjung di kolam renang Villa Meruyu, Jakarta Barat pada Sabtu lalu. Petugas di situ juga dilihat cuba menyelamatkan budak itu dengan melepaskan genggaman tangan dan menariknya jauh daripada tiang itu sebelum melakukan bantuan pernafasan. Keluarga kanak-kanak itu dalam kenyataan kepada media berkata, mangsa dikenali sebagai Putu Elang berada dalam keadaan baik dan masih menjalani rawatan. "Alhamdulillah anakanda Putu Elang dalam keadaan baik-baik saja, sekarang masih menerima rawatan," katanya. Penularan video berdurasi 46 saat di media sosial telah mendapat perhatian netizen yang bersyukur kerana mangsa selamat. -Tribunnews.com