SELEPAS lebih dua tahun ditahan dalam menjalani proses pengadilan di Malaysia, akhirnya Siti Aisyah tiba di tanah airnya, Indonesia petang Isnin. Dilepas tanpa dibebaskan atas tuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi tadi, Siti Aisyah, 27, selamat tiba di Jakarta di Lapangan Terbang Halim Perdana Kesuma, pada 5 petang dengan pesawat khas, yang diuruskan Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur. Ratusan petugas media tempatan menunggu ketibaan Siti Aisyah sejak pukul 3 petang tadi itu, turut menyiarkan berita secara meluas berkenaan keputusan Hakim Datuk Azmi Ariffin berhubung kes tersebut. Siti Aisyah ditahan pihak berkuasa Malaysia pada hari kejadian pembunuhan Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari 2017. Siti Aisyah yang berasal dari Serang, Banten, kelihatan ceria, turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam pembebasannya itu. Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yasonna Laoly yang turut bersama Siti Aisyah dalam sidang akhbar di Jakarta, berkata pemerintah Indonesia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di Malaysia, yang terlibat dalam proses pengadilan itu. "Selama dua tahun dan 23 hari, Siti Aisyah dipenjara di Malaysia (ditahan dalam menjalani proses pengadilan), proses yang panjang, dan dia ternyata terbukti tidak bersalah, hanya menjadi mangsa dalam konspirasi kononnya terlibat dalam program, reality show, tidak mengetahui yang dia telah diperalatkan," katanya. Menteri Luar Indonesia Retno LP Marsudi dalam satu kenyataan berkata pembebasan Siti Aisyah merupakan satu keputusan ‘yang manis’ dan khabar gembira buat Indonesia selepas wanita itu mengalami proses pengadilan yang panjang. Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi Isnin melepas tanpa membebaskan Siti Aisyah daripada pertuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam. Hakim Azmi membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad menarik balik pertuduhan ke atas Siti Aisyah, mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah. - BERNAMA