suria

Kecoh pelajar ‘dibenar’ hisap rokok dalam kelas

Foto odditycentral

BEBERAPA gambar menunjukkan para pelajar menghisap rokok, dipercayai di dalam kelas sebuah kolej di China, menimbulkan tanda tanya.

Namun, ia sebenarnya merupakan sebahagian daripada pembelajaran bagi kursus mengenai tembakau.

Gambar-gambar kontroversi itu pada asalnya tular di aplikasi Weibo di China, pada November tahun lalu, sebelum tersebar ke rangkaian sosial dan laman berita lain.

Sekumpulan pelajar dilihat menyalakan api rokok dan menghisapnya, manakala yang lain mengambil gambar menggunakan telefon pintar dan guru memerhatikan tindakan mereka.

Remaja tidak dibenarkan merokok di China, menyebabkan gambar-gambar tersebut mencetuskan kekecohan di Internet.

Foto odditycentral

Menurut dekan Universiti Pertanian Yunan, Zhao Zhengxiong, gambar-gambar tersebut diambil semasa kelas mengenai tembakau.

Guru kelas tersebut membawa beberapa jenis rokok ke dalam kelas dan menjemput para pelajar untuk mencubanya, sebagai cara yang lebih baik memahami tentang tembakau, kesannya kepada tekak, bau mulut dan asap rokok.

Pelajar Universiti Pertanian Yunan mempertahankan kursus yang diambil termasuk guru mereka, dengan mengatakan bahawa ia merupakan 'penilaian deria' terhadap tembakau yang penting bagi kelas 'Teknologi Rokok'.

Mereka turut menjelaskan ia tidak berlaku setiap hari.

"Ini bukan sebenarnya merokok, kami mempelajari profesyen ini, penilaian deria diperlukan," komen seorang pelajar.

Universiti Pertanian Yunan menegaskan bahawa pembelajar tersebut berbeza dengan merokok setiap, sambil menambah arahan keselamatan diberikan sebelum setiap kelas bermula, dan pelajar tidak wajib untuk menghadirinya. - odditycentral


rokok, tembakau

Artikel Lain