suria

Serangan pengganas NZ: Bapa ditembak di hadapan tiga anak

Khaled (kanan) semasa bercakap kepada wartawan New Zealand Herald.

SEORANG mangsa yang terselamat daripada serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand menyifatkan suasana semasa insiden itu amat menakutkan.

Lebih memilukan, suspek pengganas Brenton Tarrant melepaskan tembakan ke arah seorang rakannya di hadapan tiga anaknya.

Khaled Al-Nobani berkata tiga anak rakannya itu berjaya melarikan diri daripada pengganas tersebut yang berlegar di luar perkarangan Masjid Al Noor.

"Dia (pengganas) juga pergi ke jalan utama, taman dan dalam masjid kemudian menembak rakan saya.

"Dan semua anaknya melarikan diri, dia (pengganas) turut menembak mangsa. Saya datang menyelamatkan tiga anaknya," kata Khaled.

Menurut Khaled, seorang lelaki masuk ke perkarangan Masjid Al Noor dan melepaskan tembakan rambang ke arah jemaah.

Polis mengawal ketat lokasi kejadian.

Katanya, dia berjaya keluar dari masjid itu menerusi sebuah pagar dan membantu kanak-kanak lain untuk menyelamatkan diri.

Khaled turut mendakwa seorang lelaki cuba merampas senapang digunakan pengganas itu tetapi ditembak mati.

Tambah Khaled, dua rakannya turut maut dalam insiden.

Sekurang-kurangnya 49 maut dalam serangan pengganas di dua buah masjid yang dilancarkan ketika jemaah sedang solat Jumaat.

Masjid tersebut dipenuhi para jemaah ketika serangan tersebut dilancarkan.

Tarrant turut menyiarkan serangan yang dilancarkannya secara live di Facebook. - Mirror.co.uk

Christchurch, serangan pengganas

Artikel Lain