suria

Senjata serangan di Christchurch dibeli secara sah atas talian

Antara senjata yang digunakan oleh penyerang di Christchurch Jumaat lalu.

PENJUAL senjata api terbesar New Zealand, Gun City, pada Isnin menyatakan, empat daripada lima senjata api digunakan lelaki yang didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai di Christchurch, dibeli secara sah daripada syarikat itu, lapor agensi berita Xinhua.

Pemilik Gun City, David Tipple, mengesahkan perkara itu pada sidang akhbar dan menambah, tertuduh membeli empat senjata menerusi pembelian dalam talian Gun City kecuali raifal separa automatik yang digunakan dalam pembunuhan itu.

Tipple turut berkata, tertuduh memiliki lesen senjata api kelas A yang sah sewaktu membuat pembelian terbabit.

Pada sidang media sama, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai undang-undang senjata api sambil menegaskan, syarikatnya tidak melakukan sebarang kesalahan dalam urus niaga dengan tertuduh.

Sementara itu, ekoran insiden serangan keganasan mengorbankan 50 nyawa, penganjur membatalkan pameran senjata terbesar di New Zealand yang dirancang sebelum ini.

Menerusi laman sosial Facebook penganjur pada Ahad, ia menyatakan, ekspo berkenaan dibatalkan sebagai menghormati keluarga mangsa selain bimbang risiko keselamatan.

Ekspo Kumeu Militaria adalah acara tahunan dianjurkan sejak lima tahun lalu dan merupakan pameran senjata terbesar di New Zealand.

Pada Jumaat lalu, dua masjid di Christchurch diserang, mencetuskan kebimbangan rakyat mengenai undang-undang senjata api di negara itu.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berikrar melakukan pindaan undang-undang terhadap Akta Senjata Api dan pada Isnin menegaskan, kabinet pada dasarnya bersetuju untuk menguatkuasakan undang-undang lebih ketat.  -Bernama

Senjata, Christchurch

Artikel Lain