suria

Senator Islamofobia Anning paling banyak belanjakan duit rakyat untuk tampung perjalanan keluarganya

Anning ketika kepalanya dipecahkan telur oleh seorang remaja lelaki. - Foto AP

SENATOR Queensland Fraser Anning membelanjakan lebih banyak wang pembayar cukai untuk menampung kos penerbangan yang membawa keluarganya ke seluruh Australia berbanding ahli politik lain pada tahun lalu.

Anning juga mempunyai bil perjalanan kakitangan tertinggi berbanding Ahli Parlimen Australia yang tidak memegang jawatan di peringkat kementerian mahupun kementerian bayangan.

Data daripada Pihak Berkuasa Perbelanjaan Parlimen yang dikeluarkan pada Selasa menunjukkan ahli politik persekutuan Australia membuat tuntutan AU$139 juta (RM404 juta) bagi semua kategori perbelanjaan pada 2018.

Ia menunjukkan peningkatan AU$10 juta (RM29 juta) berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, Anning membuat tuntutan perbelanjaan sebanyak AU$34,672 (RM100,815) bagi 44 perjalanan keluarganya antara Januari dan Disember 2018.

Semua Ahli Parlimen Australia dibenarkan untuk membawa ahli keluarga mereka ke Canberra atau ke mana-mana lokasi dengan menggunakan duit pembayar cukai, dalam lingkungan kos yang ditetapkan.

Mereka juga berhak mendapat tiga lawatan pertemuan keluarga (antara negeri) pada setiap tahun.

Nama Anning menjadi hangat selepas mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman selepas insiden serangan pengganas di Christchurch, New Zealand.

Senator itu sekali lagi popular selepas seorang remaja lelaki memecahkan telur di kepalanya gara-gara melabel orang Islam sebagai punca serangan itu dilancarkan. - Stuff NZ

Fraser Anning

Artikel Lain