PENGGANAS warga Australia yang membunuh 50 jemaah di dua masjid di Christchurch dipindahkan ke sebuah penjara jauh dari kawasan bandar. Brenton Harrison Tarrant, 28, kini dipercayai ditahan di Paremoremo, seksyen kawalan keselamatan maksimum Penjara Auckland. "Kami bekerjasama rapat dengan agensi lain untuk memindahkan tahanan ini dengan selamat selepas dia hadir di sebuah mahkamah di Christchurch," kata jurucakap penjara pada Ahad. Terdahulu Tarrant ditahan di Persint Keadilan dan Perkhidmatan Kecemasan di Christchurch, sebuah bangunan yang merangkumi balai polis dan mahkamah. The New Zealand Herald melaporkan Tarrant diterbangkan ke Auckland oleh Angkatan Pertahanan NZ. Tarrant dilihat menunjukkan simbol OK semasa dihadapkan ke mahkamah. Beberapa syarat ketat dikenakan terhadap suspek insiden pembunuhan kejam di Masjid al Noor dan Masjid Linwood semasa jemaah sedang menunaikan solat Jumaat pada 15 Mac lalu. Tarrant didakwa atas pertuduhan membunuh tetapi lebih banyak pertuduhan akan menyusul selepas ini. "Suspek diasingkan daripada tahanan lain dan gerak-gerinya akan diperhatikan 24 jam sama ada secara langsung oleh kakitangan atau melalui kamera CCTV. "Pada waktu ini, dia tidak mempunyai akses kepada televisyen, radio atau surat khabar. Pelawat juga tidak dibenarkan untuk melawat suspek," kata jurucakap penjara. Tarrant dijangka dihadapkan ke semula ke mahkamah pada 5 April depan. - Perthnow