suria

Suami isteri jual anak kembar demi wang RM71,891

SEPASANG suami isteri menjual bayi kembar mereka kepada keluarga berlainan pada harga 13,500 pound sterling (RM71,891).

Pasangan terbabit yang hanya dikenali sebagai Lan dan Feng menjual anak kembar lelaki dan perempuan mereka selepas dua bulan mereka dilahirkan pada September 2017.

Pihak berkuasa di Chifeng, China berkata mereka dimaklumkan mengenai penjualan bayi terbabit lebih setahun kemudian pada Disember 2018.

Penyiasat menjejaki Lan dan dia ditahan pada 22 Januari lalu.

Lan dan isterinya disoal siasat dan mereka mengaku menjual bayi kembar terbabit demi mendapatkan wang untuk membayar hutang.

"Kami terlalu banyak hutang. Selepas isteri saya melahirkan anak kembar kami, dia tidak boleh bekerja lagi. Kami tiada wang dan tidak boleh membuat sebarang pinjaman," kata Lan.

Menurut polis, pasangan suami isteri itu menjumpai pembeli bayi kembar mereka menerusi aplikasi Qzone.

Pada November 2017, bayi kembar lelaki dan perempuan pasangan itu dijual kepada dua keluarga berlainan di bandar Xingtai dan Langfang dalam wilayah Hebei, China.

Bayi kembar itu dijual kira-kira 6,760 pound sterling (RM35,999) setiap seorang.

Kedua-duanya berjaya diselamatkan dan dikembali kepada keluarga terdekat mereka.

Lan didakwa menjual anak kembarnya manakala pembeli yang dikenali sebagai Chen dan Zhang turut berdepan hukuman kerana melakukan pembelian secara haram. - Mirror.co.uk

anak kembar, jual anak

Artikel Lain