SEORANG bapa empat anak mendakwa isteri yang dikahwininya selama 10 tahun melakukan banyak hubungan sulit, gara-gara isterinya membiarkan akaun Facebooknya terbuka. Seth Megow, 33, mengahwini isterinya, Chrissy semasa umurnya baru 19 tahun dan bahagia selama lapan tahun bersama. Namun, dia mendakwa sikap isterinya berubah apabila sering lewat pulang ke rumah dan menukarkan kata laluan untuk akaun laman sosial itu. Dia turut mendakwa mereka semakin sukar untuk berkomunikasi sesama sendiri. Seth dari Georgia, Amerika berkata, dia terkejut apabila suatu hari Chrissy membiarkan halaman Facebooknya terbuka semalaman, dan mendapati isterinya curang dengan menjalinkan beberapa hubungan sulit. Jelasnya, sesetengah hubungan sulit itu berlangsung sejak setahun lalu. Luahan tersebut dikongsikan Seth di blog miliknya. Dia kesal dengan apa yang berlaku dan mengimbas semula kenangan yang dilalui bersama isteri dan anak-anaknya. - Mirror UK