BAGI menangani gelombang keganasan dan rasuah yang melanda bandar pelabuhan Buenaventura di Colombia, seorang uskup tempatan bercadang menggunakan helikopter Tentera Laut untuk menyembur 'holy water' di bandar itu bagi membersihkan kejahatan. Pegawai gereja berkenaan, Monsignor Rubén Darío Jaramillo Montoya merancang melakukan pembersihan besar-besaran di bandar Colombia itu yang menyaksikan peningkatan tertinggi jenayah keganasan dan rasuah. Dengan sokongan Tentera Laut Kebangsaan, wakil gereja itu ingin menggunakan helikopter untuk menyembur air suci dari bahagian atas bandar dalam usaha untuk menyingkirkan syaitan. Upacara ini dijadualkan pada 13 dan 14 Julai. "Kita perlu menghalau syaitan keluar dari Buenaventura, untuk melihat apakah kita dapat mengecap semula kedamaian dan ketenangan yang telah hilang di bandar ini akibat terlalu banyak jenayah, perbuatan rasuah, syaitan dan pengedaran dadah di pelabuhan kita. "Kami ingin mengelilingi Buenaventura dari udara dan menyembur air suci dan melihat apakah kita dapat mengusir, menghalau syaitan-syaitan ini yang menghancurkan pelabuhan itu, supaya rahmat Tuhan akan datang dan menghilangkan segala kejahatan ini," katanya. Pengumuman Uskup itu dibuat seminggu selepas mayat seorang gadis berusia 10 tahun ditemui di Buenaventura. Bapa saudaranya mengaku melakukan jenayah itu dan dipenjarakan, tetapi kes ini adalah yang terbaharu dalam satu siri jenayah ganas di pelabuhan Colombia. Data menunjukkan dalam tempoh lima bulan 2019, 51 orang terbunuh di Buenaventura, lebih 20 berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Tambahan pula, Buenaventura telah menjadi pelabuhan strategik bagi penyeludupan kartel ke Amerika Syarikat. Kini, pihak gereja dan Tentera Laut Negara Colombia berharap bahawa pembersihan besar-besaran akan membawa semula kedamaian ke bandar pelabuhan itu. -Oddity