SEORANG penyelam skuba berdepan kejutan dan detik cemas di dasar laut apabila diserang oleh sotong kurita gergasi ketika menyelam di Laut Jepun. Penyelam dari Mayak Gamov, Rusia itu berusaha keras menggoncangkan kakinya untuk menghalau sotong itu yang melilit cuba menyedut bahagian betisnya menggunakan tentakel, menurut news.com.au. Video tersebut yang dirakamkan di Semenanjung Garrow, memperlihatkan haiwan 'berkaki' lapan itu membelit penyelam dan cuba menggigitnya dengan paruh tajam yang tersembunyi di mulutnya. ARTIKEL BERKAITAN: Cubaan vlogger terkenal makan sotong kurita hidup tak menjadi Lelaki itu dilihat membuat beberapa percubaan untuk menghalau sotong itu sambil seorang lelaki yang merakamkan detik cemas itu dapat didengar berteriak ketakutan. Sotong kurita akhirnya melepaskan kaki penyelam. Nasib baik sotong itu akhirnya menyerah dan berenang kembali ke bahagian paling bawah dasar laut. Ia menuju ke arah batu karang dan berubah warna sama dengan dasar laut sebelum hilang di celah batuan. Sotong kurita diketahui biasanya mengelakkan daripada manusia dan hidup di perairan pesisir pantai di California, Oregon, Washington, British Columbia, Alaska, Rusia, Jepun dan Semenanjung Korea. Detik cemas penyelam dari Rusia di serang sotong kurita gergasi. Pada 2017, seorang penyelam skuba wanita diserang oleh seekor sotong kurita yang berjaya melepaskan topeng dan regulatornya ketika dia dan suaminya menyelam di British Columbia, Kanada. Angela Damant terselamat kerana haiwan itu dengan segera beredar ke arah batu. Suaminya, Marc, berjaya mengambil gambar momen aneh tersebut. -Mirror