SEORANG wanita obes yang terlantar di katil selama tiga tahun berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 267 kilogram (kg) dan akhirnya dapat berjalan kembali. Ibu lima anak itu, Milla Clark, 51, sebelum ini mempunyai berat 340 kg, langsung tidak dapat bergerak dan keadaan itu membuatkan hidupnya menderita. Dia sukar untuk berdiri kerana kakinya sakit untuk menampung berat badannya yang berlebihan. Dia tidak dapat berjalan sendiri selama 13 tahun, malah tidak berpeluang untuk melawat suaminya di hospital sehingga suaminya itu meninggal dunia. Ketika itu, Milla hanya bergantung kepada anak-anaknya untuk memandikannya setiap pagi. Milla kini dapat berjalan semula selepas menyertai program mengurangkan berat badan. Bagaimanapun, Milla yang berasal dari Fayetteville, Tennessee di Amerika Syarikat menjadi pesakit yang berjaya dengan menyertai dalam satu program apabila dapat menurunkan badan kepada 73kg. Memetik laporan Daily Mail, Milla mula mengikuti program bersama pakar mengurangkan berat badan, Dr Younan Nowzaradan sejak lebih tiga tahun. Milla berkata: "Ketika itu, setiap hari menderita. "Saya terperangkap dalam bilik ini lebih dua tahun. "Ketika itu, saya tidak dapat berdiri. Apa yang saya buat adalah makan dan tidur," tambahnya. Milla berkata, dia mengalami berat badan berlebihan sejak berumur tiga tahun, dan sejak itu rakan-rakan sebaya memanggilnya gemuk. - Mirror UK