PASANGAN Asia yang cuba hamil melalui IVF mendakwa persenyawaan yang dilakukan di klinik kesuburan California telah menyebabkan kehamilan dengan anak yang salah. Satu tuntutan mahkamah yang difailkan oleh pasangan itu di New York menyatakan bahawa mereka terkejut apabila melahirkan dua bayi lelaki yang bukan keturunan Asia, media AS melaporkan. Tuntutan itu menyatakan ujian DNA mengesahkan bahawa kedua-dua mereka juga tidak mempunyai pertalian darah dengan pasangan itu dan mereka melepaskan jagaan. Klinik kesuburan terbabit tidak mengulas mengenai tuduhan ini. Pasangan itu yang dikenal pasti dalam tuntutan mahkamah hanya sebagai AP dan YZ untuk meminimumkan 'rasa malu dan terhina' berkata mereka cuba untuk hamil selama bertahun-tahun sebelum membelanjakan lebih dari AS$100,000 (RM415,000) untuk melakukan IVF, termasuk ubat-ubatan, yuran makmal, perjalanan dan kos lain. IVF adalah proses menyuburkan telur di luar tubuh wanita, sebelum dimasukkan semula ke dalam rahim untuk ia berkembang. Tuntutan itu, yang difailkan di Daerah Timur New York minggu lalu, menuduh CHA Fertility dan dua lelaki yang dikenal pasti sebagai pemilik bersama dan pengarah melakukan kesalahan termasuk penyelewengan perubatan dan tuduhan menimbulkan gangguan emosional yang disengajakan. Dilaporkan, selepas kelahiran pada 30 Mac, pasangan itu 'terkejut melihat bayi yang diberitahu akan terbentuk melalui hasil persenyawaan dua genetik mereka tidak nampak seperti yang dinyatakan'. Sebelum itu, terdapat tanda-tanda awal dengan beberapa perkara yang tidak kena, apabila imbasan mendedahkan mereka akan mendapat anak lelaki, walaupun doktor berkata mereka tidak menggunakan embrio lelaki semasa rawatan. Doktor dilaporkan memberitahu pasangan itu bahawa imbasan itu tidak tepat, sebelum mereka akhirnya benar-benar mendapat anak lelaki. Selain tidak mempunyai kaitan dengan pasangan itu, bayi itu juga tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain, mengikut tuntutan mahkamah. Di laman webnya, CHA Fertility berkata mereka memberikan 'jagaan peribadi tahap tertinggi... dengan rasa tanggungjawab yang paling tinggi'. BBC telah menghubungi syarikat itu untuk mendapatkan komen. -BBC