suria

Plat otopedik ditemui dalam perut buaya mungkin jawapan kes orang hilang

Objek besi ditemui dalam perut MJ - buaya yang maut akibat pergaduhan dengan seekor buaya lain.

KEMATIAN seekor buaya besar kemungkinan dapat membantu menyelesaikan kes orang hilang apabila sekeping plat ortopedik ditemui dalam perut haiwan itu.

Akhbar The Guardian melaporkan, pemeriksaan mendapati plat tersebut yang ditemui dalam perut buaya itu mengandungi skru tahan karat.

Buaya bernama MJ yang panjangnya 4.7 meter itu mati akibat berlawan dengan seekor lagi buaya besar di Ladang Ternakan Buaya Koorana dekat Rockhampton, Australia.

Objek besi sepanjang 10 sentimeter itu ditemui ketika pekerja ladang membelah perut buaya itu untuk mengenal pasti punca kematiannya.

Pengurus ladang, John Lever berkata, mereka dimaklumkan, logam buatan Switzerland itu adalah model agak lama, malahan kod pengenalannya telah terhakis kemungkinan kerana asid di dalam perut haiwan tersebut.

Antara objek yang ditemui dalam perut MJ sebaik dibelah pekerja ladang dekat Rockhampton.

“Beberapa teori diambil kira, ia mungkin dimasukkan ke dalam haiwan peliharaan semasa pembedahan atau manusia, kita tidak pasti,” kata Lever kepada Australian Associated Press.

“Plat ini mungkin berada dalam perut buaya itu selama 45 atau 50 tahun,” tambahnya.

Bagaimanapun, Lever berpendapat plat itu milik manusia.

“Jika benar ia milik manusia, kami berhasrat membantu menyelesaikan kes tanpa petunjuk jelas ini.

“Mungkin juga kami boleh membantu mereka mendapat ketenangan dan tentunya ia akan  menggembirakan kami,” tambah Lever.

Kakitangannya telah membincangkan mengenai penemuan itu dengan pengguna media sosial dan doktor, bagaimanapun mereka belum membuat aduan polis.

Buaya itu telah berada di ladang tersebut selama enam tahun selepas dibeli daripada ladang lain di utara Queensland, kata Lever.

Siasatan mengenai habitat asalnya sedang dilakukan dengan ladang di utara Queensland tersebut.-TheGuardian

MJ, buaya, Koorana

Artikel Lain