JABATAN Kesihatan Thailand menasihatkan orang ramai supaya tidak mencontohi sesetengah penduduk negara itu yang meminum air kencing dan mencuci muka. Amalan ini dikatakan menjadi kegilaan dalam kalangan pengguna Facebook, malahan dipromosi menerusi media sosial. Susulan itu, Timbalan Ketua Pengarah jabatan berkenaan, Dr Amporn Benjapolphitak memberi amaran supaya menghentikan amalan itu. Katanya, organ seksual dan dubur banyak mengandungi bakteria yang mencemarkan air kencing, sekali gus menjadikan ia bahaya untuk diminum atau digunakan untuk mencuci muka atau mata. Amalan itu menjadi perbualan apabila seorang pengguna Facebook menulis, sebuah sekolah di daerah Khon Kaen Phol menggunakan campuran air kencing dan herba untuk pelajarnya minum sebagai ubat sakit perut. Seorang lagi penduduk di daerah Ban Pong Ratchaburi pula menulis, beliau kerap minum air kencing dan mencuci mata serta luka, manakala seorang jururawat mengakui melakukan perkara sama, termasuk mendidihkannya sebelum ia disuling untuk mencuci luka pesakit. Sebuah saluran televisyen mewawancara beberapa orang yang mendakwa menulis pengalaman minum air kencing sendiri serta mencuci muka menggunakannya di Facebook. Dr Amporn berkata, adalah benar air kencing digunakan sebagai ubat ketika zaman pemerintahan empayar Greek dan Roman, bagaimanapun jangka hayat purata penduduknya kurang 40 tahun. Beliau mengakui teknologi perubatan sudah maju sejajar masa dan tiada kajian perubatan moden meluluskan penggunaan air kencing sebagai penawar penyakit. “Ketika zaman dulu, air bersih sukar diperoleh, oleh itu air kencing dianggap sebagai air oleh sesetengah orang,” katanya.-thethaiger.com