SEBUAH pesawat terpaksa melakukan pendaratan kecemasan selepas seorang penumpang mengamuk gara-gara tidak dibenarkan menggunakan tandas kelas pertama. Lelaki itu yang dikenali sebagai Jwan Curry itu dilihat bertengkar dengan seorang anak kapal. Dalam rakaman video tersebut, dia mendakwa adalah menjadi satu kesalahan jika penumpang beratur panjang untuk ke tandas sementara tandas kelas pertama kosong. "Anda salah. Dengan membiarkan tujuh penumpang menunggu untuk menggunakan tandas sementara tandas yang satu lagi kosong, itu salah," katanya yang berang selepas seorang anak kapal memberitahu dia akan menghubungi polis berhubung insiden itu. Juruterbang Alaska Airlines yang menyedari insiden itu bagaimanapun terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Kansas City dan tiba di destinasi terakhir lewat empat jam. Sementara itu, seorang saksi memberitahu lelaki itu mengugut untuk membunuh juruterbang dan mencederakan penumpang lain susulan insiden tersebut. Curry bagaimanapun ditahan polis dan dihadapkan ke mahkamah pada 28 Oktober depan. - Dailystar