SEORANG lelaki 'menyimpan' enam anaknya dari kecil sehingga dewasa di ruang bawah tanah di sebuah ladang terpencil selama bertahun-tahun untuk 'menunggu akhir zaman'. Anak-anaknya itu hanya ditemui ketika anak sulungnya yang kini sudah dewasa terjumpa sebuah kafe di pekan Ruinerwold, di Drenthe, Belanda. Dia memberitahu pemilik kafe bahawa sudah tidak keluar selama sembilan tahun. Polis kemudian menemui seorang lelaki berusia 58 tahun yang telah menjaga mereka yang berumur 16 hingga 25 tahun itu di sebuah rumah ladang di kawasan terpencil tanpa sesiapa pun tahu kewujudannya. Anak sulungnya difahamkan telah memasuki kafe itu beberapa kali, tetapi kali terakhir masuk ke situ iaitu pada Ahad, dia memberitahu pemiliknya bahawa dia dan adik-adiknya ingin mengakhiri cara hidup mereka. Sebahagian daripada adik-beradik ini tidak pernah berhubung dengan jiran-jiran dan diyakinkan bahawa mereka sahajalah manusia yang hidup di muka bumi ini, menurut media tempatan. Pemilik kafe Chris Westerbeek memberitahu penyiar Belanda RTV Drenthe: "Dia sangat keliru. Dia minum lima bir. Kemudian saya berbual dengannya dan dia beritahu saya dia telah melarikan diri dan memerlukan bantuan. Kemudian kami menelefon polis." Lelaki itu digambarkan berjanggut dan berambut panjang serta mendakwa tidak berada di luar selama hampir sedekad. Enam mangsa yang ditemui tidak pernah berhubung dengan dunia luar. -foto Rex Chris berkata: "Dia kata dia mempunyai adik-beradik yang tinggal di ladang. Dia juga beritahu dia yang sulung dan mahu mengakhiri cara hidup mereka." Polis menemui laluan tangga rahsia di ruang tamu yang tersembunyi di belakang sebuah almari yang membawa kepada tempat persembunyian keluarga itu. Lelaki yang lebih tua, dipercayai bapa kepada adik-beradik itu sedang terlantar di tempat tidur, akibat strok beberapa tahun yang lalu, kata polis. Tidak diketahui berapa lama mereka telah tinggal di ruang bawah tanah atau apa yang berlaku kepada ibu mereka. Mereka dilaporkan tidak mempunyai hubungan dengan dunia luar dan hidup sepenuhnya dengan ternakan kambing dan kebun sayur mereka sendiri. Seorang jiran di ladang itu memberitahu RTV Drenthe dia menganggap lelaki itu tinggal bersendirian. "Lemah lutut saya," katanya. Polis mengesahkan penemuan keluarga itu dan membuka kertas siasatan. Hubungan antara tujuh orang yang ditemui belum disahkan tetapi menurut pegawai, lelaki berusia 58 tahun itu telah ditangkap dan kawasan sekitar ladang telah ditutup. Seorang jurucakap polis berkata: "Pertama sekali, kami melihatnya sebagai tugas untuk memberikan penjagaan dan sokongan kepada keluarga ini." Menurut penduduk yang tinggal berhampiran, ladang itu telah dikelilingi oleh pagar yang tinggi selama beberapa tahun. Ia dimiliki oleh seorang lelaki yang tinggal di bandar itu, yang dipercayai menyewakannya kepada seorang lelaki dan berkata dia tidak tahu apa-apa tentang penyewa atau kanak-kanak. Pekan Ruinerwold mempunyai penduduk kurang daripada 4,000 orang. -MetroUK