JIJIK! Itulah yang dapat digambarkan dengan perbuatan puluhan paderi di sebuah gereja Katolik di Colorado yang melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak. Menurut satu laporan 263 halaman yang dikeluarkan pada Rabu, sekurang-kurangnya 166 kanak-kanak menjadi mangsa penderaan seksual sejak tahun 1950. “Ini adalah sejarah yang gelap dan menyakitkan,” kata Peguam Negara Colorado Phil Weiser kepada wartawan. Selama tujuh bulan, bekas peguam Amerika Syarikat, Bob Troyer mengkaji lebih daripada 500 fail paderi dan menemubual saksi, mangsa dan penguatkuasaan undang-undang. Dalam penemuannya, Troyer mengatakan kebanyakan insiden berlaku pada tahun 1960-an dan 1970-an. Tuduhan terbaru dibuat pada tahun 1998 dan melibatkan seorang paderi Denver yang melakukan penderaan secara seksual terhadap empat orang kanak-kanak, kata laporan itu. Manakala terdapat kes di mana seorang paderi yang didakwa melakukan penderaan seksual terhadap lebih 60 kanak-kanak. Paderi Harold Robert White didakwa melakukan penderaan secara seksual terhadap sekurang-kurangnya 63 kanak-kanak selama lebih 21 tahun. White meninggal dunia pada 2006. Dia tidak pernah dihantar untuk penilaian psikiatri, dan dia tidak pernah disiasat, kata laporan itu. - CNN