suria

Bapa lumpuh, hilang separuh tengkorak dipukul dengan kayu besbol... penyerangnya dipenjara 72 hari

Steven Augustine berjuang untuk hidup sejak diserang pada Mei 2018. -foto Stevens Medical Fundraiser

KELUARGA seorang lelaki yang dipukul dengan ganas sehingga lumpuh dan separuh tengkoraknya musnah menuntut keadilan selepas penyerangnya hanya dihukum penjara 72 hari.

Steven Augustine, 32, dari New York, berjuang untuk hidup selepas koma sejak 28 Mei akibat dipukul dengan kayu besbol ketika dia pulang dari kerja pada awal pagi.

Pakar bedah terpaksa mengeluarkan bahagian kiri tengkoraknya selepas ia hancur dalam serangan itu.

Keluarganya juga mengutip sumbangan untuk pembedahan bagi membolehkan tengkorak logam dipasang bagi melindungi otaknya.

Bapa kepada dua anak ini menderita sindrom otak ke dalam (sunken), satu komplikasi yang jarang terjadi yang menyebabkan Augustine hilang separuh daripada kepalanya.

Ibunya, Donna, 56, yang sentiasa di sampingnya berkata keadaan mangsa semakin merosot.

Donna berkata keluarganya tidak puas hati kerana penyerang, Charles L. Miles hanya dihukum 72 hari di Ulster County Jail, New York.

Keluarga Augustine tidak puas hati dengan hukuman yang dikenakan ke atas penyerang. -foto Stevens Medical Fundraiser

Walaupun Augustine tidak dapat mengingati butir-butir sebenar serangan itu, doktornya konsisten menyatakan bahawa dia dipukul dengan kayu besbol.

Walau terdapat pandangan perubatan, peguam mendakwa Miles menumbuk Augustine sekali sahaja, dan kecederaan otaknya kerana terjatuh ke belakang.

Peguam Daerah Ulster County Holley Carnright memberitahu berita ABC 7 bahawa disebabkan Miles tidak berniat untuk menimbulkan kemudaratan fizikal yang serius kepada Augustine, jabatannya tidak dapat mensabitkan serangan jenayah terhadapnya.

Carnright berkata: "Kecederaan pada wajahnya konsisten dengan satu tumbukan."

Donna berkata: "Rekod hospital Steven dengan jelas menyatakan kecederaannya disebabkan oleh trauma tumpul mungkin dengan kayu besbol dan lelaki yang melakukannya kini bebas.

"Kecederaan yang telah dilakukan tidak mungkin berlaku dengan satu tumbukan.

"Bahagian kiri kepala pecah bersama-sama dengan banyak tulang patah di tengkorak dan muka selain pendarahan otak. Charles L. Miles diberi hukuman ringan dan saya mahukan keadilan untuk anak saya yang berjuang setiap hari untuk hidupnya."

Menurut Donna doktor telah cuba menggantikan tulang dengan plat keluli, tetapi ia telah mengalami jangkitan sebanyak dua kali. -MetroUK

serang, kayu besbol, tengkorak

Artikel Lain