PERCUTIAN seorang pemuda bertukar tragedi apabila dia maut ketika cuba berswafoto di kawasan air terjun curam tanpa mengendahkan papan tanda kawasan berbahaya. Bastien Palmier, 30, dan seorang rakannya berkunjung ke air terjun berketinggian 260 kaki di Koh Samui, Thailand pada pagi Khamis lalu. Rakannya mendakwa Palmier tidak mengendahkan papan tanda kawasan berbahaya dan terus mendaki tepi air terjun Na Mueang 2. Ia adalah lokasi sama yang menggorbankan seorang pelancong warga Sepanyol pada Julai lalu. Palmier dikatakan berdiri dekat tebing air terjun ketika berswafoto dan cuba membetulkan kedudukannya sebelum tergelincir. Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan. Operasi mengeluarkan mayat hanya selesai tiga jam kemudian kerana keadaan batu yang agak curam dan licin. Susulan itu, polis menasihati orang ramai supaya tidak memasuki kawasan larang demi keselamatan mereka. - Mirror.co.uk