PILU buat seorang ibu apabila hanya mampu mendengar suara anaknya menerusi panggilan telefon, merayu meminta pertolongan selepas ditikam dengan kejam oleh individu tidak dikenali. Ketika kejadian, Margaret Smith bercakap dengan anaknya, Paul Smith, 28, yang secara tiba-tiba diserang oleh suspek, George McAdam. Paul yang merupakan penganalisis teknologi maklumat di Universiti Edinburgh ditikam oleh McAdam menggunakan gunting. Mangsa ditikam sebanyak 32 kali oleh suspek berusia 40 tahun yang baru dibebaskan dari penjara dua minggu sebelum kejadian. Memetik laporan Daily Record, Paul baru pulang dari waktu rehat makan tengah hari ketika kejadian berlaku. Pendakwa, Ashley Edwards QC memberitahu Mahkamah Tinggi di Glasgow: "Dia masih bercakap dengan ibunya menerusi panggilan telefon. "Ibunya mendengar jeritan. Dia mendengar suara anaknya 'Tolong saya... panggil polis, panggil polis." Margaret kemudian menjerit kepada suaminya untuk menghubungi panggilan kecemasan. Anaknya bagaimanapun tidak dapat diselamatkan dalam serangan itu. - Mirror