SEORANG penyelam dikhuatiri maut dibaham seekor jerung putih ketika sedang menyelam di Cull Island, Australia. Gary Johnson dikatakan diserang jerung tersebut kira-kira jam 1.30 petang waktu tempatan pada Ahad. Pasukan kecemasan sedang menggerakkan misi untuk mencari Johnson namun setakat ini masih belum menemui mangsa. Isterinya Karen pula dikejarkan ke hospital akibat mengalami kejutan. Dilaporkan, Johnson yang sedang menyelam di lautan sempat membuat panggilan (distressed call) kepada isterinya yang sedang berada di dalam bot kira-kira empat meter daripada lokasinya menyelam. Glen Quinlivan, yang merupakan pekerja di kawasan itu berkata, ketika kejadian dia sedang mempersiapkan bot miliknya apabila dia mendengar tangisan yang meminta bantuan. "Kami cuba mencari dia, kami cuba menolongnya tetapi tidak berjaya," kata Quinlivan. Misi menyelamat setakat ini hanya dapat menemukan kasut dan sebahagian daripada sut selam milik Johnson, tambah Quinlivan. - Daily Star