suria

Pemuda koma 4 tahun selepas makan sandwic diracun rakan meninggal dunia

Suspek dipercayai meracuni seramai 21 mangsa sejak tahun 2000.

SEORANG lelaki yang berada dalam keadaan koma selama empat tahun selepas makan sandwic yang diletak racun oleh rakan sekerjanya dilaporkan meninggal dunia.

Kematian mangsa berusia 26 tahun itu disahkan oleh sebuah mahkamah di Bielefeld, Jerman pada Khamis.

Suspek yang dikenali sebagai Klaus O dihukum penjara seumur hidup pada Mac selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan itu.

Klaus yang mahu memfailkan rayuan terhadap hukumannya didakwa meletak merkuri dan bahan beracun lain di dalam makanan rakan sekerjanya sejak beberapa tahun lalu.

Akibatnya, seorang mangsa koma manakala dua lagi mengalami kerosakan buah pinggang yang serius.

Dia ditahan pada Mei 2018 selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia meletak serbuk beracun di dalam sandwic rakan sekerjanya di Schloss Holte-Stukenbrock.

Botol mengandungi serbuk beracun sama ditemui dalam beg Klau ketika dia ditahan.

Polis turut menggeledah kediamannya dan menjumpai kadmium, plumbum dan merkuri, yang dipercayai digunakan untuk meracun rakan sekerjanya.

Penangkapannya turut mendorong polis menyiasat semula kes kematian 21 pekerja di sebuah kilang sejak 2000.  - Metro.co.uk

racun, sandwic, koma

Artikel Lain