SEKURANG-KURANGNYA tiga individu dilaporkan cedera, dengan seorang daripadanya dalam keadaan kritikal selepas ditikam oleh seorang lelaki di Streatham, selatan London, pada Ahad. Polis mengesahkan suspek lelaki yang melakukan serangan berkenaan telah ditembak mati. Jurucakap Polis Metropolitan berkata: "Seorang lelaki telah ditembak oleh pegawai bersenjata di Streatham. Dipercayai beberapa orang menjadi mangsa tikaman. "Keadaan semasa sedang disiasat, insiden ini diisytihar sebagai berkaitan dengan pengganas,"katanya. Seorang pelajar berusia 19 tahun dari Streatham mendakwa telah menyaksikan insiden tembakan tersebut. "Saya sedang menyeberang jalan ketika terlihat seorang lelaki dengan kanister perak di dadanya sedang dikejar oleh pegawai polis yang memakai pakaian biasa. Lelaki itu kemudian ditembak," kata pelajar tersebut sambil menambah, dia mendengar sekurang-kurangnya tiga das tembakan. - Metro.co.uk