suria

Individu dikuarantin kerana Covid-19 tinggalkan nota menyentuh hati untuk jururawat

Satu nota yang tidak ditandatangani ditinggalkan di pintu bangunan oleh seorang individu yang dikuarantin, menyatakan penghargaan mereka kepada kakitangan NHS di atas penjagaan dan rawatan yang diberikan sepanjang tempoh 14 hari dikuarantin. Foto: PA/Mercury

RAKYAT Britain yang 'diselamatkan' dari China dan dikuarantin selama dua minggu mengucapkan terima kasih kepada kakitangan perkhidmatan kesihatan kebangsaan atau NHS atas rawatan dan penjagaan sepanjang tempoh tersebut.

Seramai 83 orang dijangka dibenarkan keluar dari Hospital Arrowe Park di Wirral pada Khamis namun kakitangan di NHS dikejutkan dengan nota yang menyentuh perasaan.

Satu nota yang tidak ditandatangani ditinggalkan di pintu bangunan, yang berbunyi: 'Saya enggan pergi tanpa menyatakan rasa terima kasih yang paling mendalam atas apa yang telah anda lakukan untuk kami sepanjang dua minggu yang lalu.

'Saya tiba sebagai pembawa yang berpotensi untuk satu virus berbahaya. Saya agak cemas tentang bagaimana saya akan diterima. Namun anda menyambut kami hangat dengan hadiah, kad, bunga dan senyuman. Anda membuat kami berasa sangat dialu-alukan.

'Dalam masa kami dilanda kekusutan, anda menjaga kami dengan penuh belas kasihan dan profesional.

'Tidak pernah langsung saya rasa anda tidak meluangkan masa untuk bercakap dengan saya atau membantu saya. Anda secara proaktif berusaha untuk membuatkan saya lebih selesa.

'Saya adalah salah seorang daripada kumpulan 83 orang itu tetapi saya yakin perasaan ini dikongsi oleh kami semua. Terima kasih'.

Kumpulan itu dikeluarkan dari bandar Wuhan, China, yang merupakan pusat wabak koronavirus yang kini telah membunuh lebih dari 1,350 orang.

Mereka telah dikuarantin selama 14 hari di dalam tempoh pengasingan sehingga semua ujian yang dilakukan disahkan negatif untuk Covid-19. - Metro.co.uk

kuarantin, jururawat, Covid-19, NHS

Artikel Lain