suria

Pemuda ada simptom Covid-19 maut 10 hari selepas anak kedua lahir

Davies mengalami batuk dan demam sejuk pada Jumaat minggu lepas.

SEORANG pemuda maut selepas mempunyai simptom awal jangkitan Covid-19 hanya 10 hari selepas kelahiran anak lelakinya.

Thomas Davies, 27, mengalami batuk dan demam sejuk ketika bekerja di sebuah pusat hiburan di Bangor, Wales, Jumaat minggu lepas.

Bapa dua anak itu yang tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan disahkan meninggal dunia di rumahnya.

Ibu mangsa, Mandy berkata keluarganya tidak dapat memeluk Davies buat kali terakhir kerana tidak dibenarkan berbuat demikian oleh kerajaan yang menggalakkan penjarakan sosial di kalangan rakyat di negara itu.

Ujian saringan sedang dijalankan untuk mengenal pasti sama ada Davies sah positif jangkitan tersebut.

Kematian di United Kingdom akibat wabak itu meningkat kepada 759 orang pada Jumaat dengan 181 kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Menurut Mandy, Davies kelihatan semakin pulih apabila kali terakhir berbual dengannya di telefon Rabu lalu.

Dia juga mengasingkan dirinya di rumah tetapi tunangnya, Rhiannon Elias menjumpai Davies sudah meninggal dunia keesokan harinya.

Pasukan perubatan siap berpakaian hazmat membawa mayat Davies ke hospital dan ahli keluarga tidak dibenarkan menyentuh mangsa. - Metro.co.uk

simptom, Covid-19, meninggal dunia

Artikel Lain