PIHAK Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia membuat laporan ke atas pemilik Sekolah Berasrama Islam Miftahun Jannah Pudjiono, Pujiono Cahyo Widiyanto atas dakwaan keganasan seksual. Lebih dikenali sebagai Sheikh Puji, dia dikhabarkan telah berkahwin secara rahsia dengan seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun pada Julai 2016. Sebelum itu, Sheikh Puji juga pernah berkahwin dengan seorang kanak-kanak berumur 12 tahun pada 2008. Menurut Ketua Perlindungan Kanak-Kanak wilayah Jawa Tengah Endar Susilo, dia ada menerima aduan mengenai suspek pada November tahun lalu. Endar turut berjumpa dengan saksi lain dan ibu mangsa untuk mendapatkan keterangan lebih lanjut mengenai kes ini. "Saya berjumpa dengan dua saksi lain dan ibu mangsa. Mereka semua mengakui perkahwinan itu. "Mereka juga melihat perbuatan Syekh Puji terhadap kanak-kanak itu di sekolah dan juga di rumah," ujarnya. Kata Endar lagi, perkahwinan bawah umur tentunya dapat menghancurkan masa depan kanak-kanak akibat trauma yang dialami. Dalam pada itu, Ketua Bidang Perhubungan Awam Polis Daerah Jawa Tengah, Iskandar Fitriana Sutisna berkata pihaknya mendapat aduan itu pada Disember 2019. "Siasatan dilakukan dengan memeriksa enam saksi untuk memberikan maklumat dan keterangan yang berkaitan dengan kes itu. "Walau bagaimanapun, pasukan penyiasat masih menjalankan proses penyiasatan untuk meneroka elemen jenayah dari apa yang dilaporkan," katanya. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan hukuman pengasingan.- Kompas.