PEMERINTAH Indonesia kini mewajibkan mereka yang berada di luar rumah agar memakai penutup mulut dan hidung susulan jumlah kematian akibat pandemik COVID-19 di negara ini kini meningkat kepada 209 kes. Presiden Indonesia Joko Widodo dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Presiden, berkata langkah itu juga selaras dengan saranan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto semalam menasihati orang ramai menggunakan penutup mulut dan hidung diperbuat daripada kain, yang maksimum kegunaannya selama empat jam, sebelum dibasuh untuk kegunaan semula. "Tak perlu guna penutup N-95, cukup dengan penutup diperbuat kain sahaja, N-95 hanya untuk petugas Kesihatan," katanya. Pada sidang medianya, Achmad Yurianto berkata, 11 lagi kematian berlaku dalam tempoh 24 jam, manakala bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, berlaku tambahan 218 kes positif, menjadikan jumlah kes positif kini 2,491. Bagaimanapun kenyataan Sekretariat Presiden hari ini tidak menyatakan denda atau hukuman sekiranya terdapat warga yang tidak memakai atau ingkar memakai penutup mulut dan hidung. Setakat ini, pemerintah Indonesia belum menetapkan perintah sekatan keluar atau masuk atau perintah kawalan pergerakan, namun menekankan terhadap pembatasan sosial berskala besar dalam semua aspek aktiviti masyarakat bagi menangani penularan virus itu.- BERNAMA