suria

Bapa meninggal, anak dihalang tenangkan ibu bersedih ketika majlis pengebumian kerana perlu ikut SOP

Seorang anak terkilan dihalang menenangkan ibunya yang bersedih ketika pengebumian bapanya. -foto MetroUK/Milton Keynes Community Hub

KESEDIHAN sebuah keluarga menjadi bertambah 'parah' apabila seorang anak dihalang mengalihkan kerusi untuk menenangkan ibunya dalam satu majlis pengebumian di United Kingdom.

Seorang kakitangan bergegas masuk ke ruang di krematorium sambil memberitahu mereka yang hadir agar tidak mengalihkan kerusi walaupun keluarga itu telah duduk bersama sebelum upacara bermula.

Segalanya bermula apabila Craig Bicknell, dari Milton Keynes, melihat ibunya sedang bersedih lantas menarik kerusi dan duduk di sebelahnya.

Turut melakukan tindakan sama adalah dua lelaki lain dalam kejadian di Krematorium Crownhill.

Tiba-tiba mereka diberitahu untuk membawa kerusi kembali ke posisi asal, yang disusun mengikut penjarakkan sosial ketika majlis pengebumian Alan Wright, yang meninggal dunia akibat serangan jantung 2 Oktober lalu.

Bignell berkata dia dan abangnya Paul kesal dihalang sebegitu.

Dia menulis di Facebook: "Saya boleh duduk di restoran, duduk di pub dan boleh tinggal di rumahnya (ibu), saya boleh naik limosin ke krematorium seramai enam orang.

"Tetapi ketika saya mahu memeluk ibu saya di upacara pengebumian bapa, seorang lelaki tiba-tiba datang sambil berteriak menyuruh kami berpisah. Hari yang buruk menjadi lebih teruk lagi."

Seorang kakitangan meluru ke arah tiga beranak ini kerana duduk bersama. -MetroUK

Seorang jurucakap Majlis Milton Keynes memberitahu Daily Mail: "Kami minta maaf kerana membuatkan keluarga ini kecewa. Kami biasanya tak menghalang jika seseorang perlu ditenangkan oleh ahli keluarga lain dan dalam hal ini seharusnya pendekatan untuk beri pertimbangan diambil.

"Kami minta pengarah pengebumian supaya beritahu kami jika ada kerusi yang pelu diletakkan berkelompok dan mulai sekarang ia termasuk tetamu yang tinggal serumah atau kumpulan yang sama, serta orang yang memerlukan sokongan tambahan.

"Kami harap ini memberikan keselesaan tambahan pada masa yang sukar."

Pusat Komuniti Milton Keynes berkongsi klip tersebut di Facebook dan menulis: "Kami dihubungi oleh seorang penduduk yang baru-baru ini mengucapkan selamat tinggal kepada bapanya di Crownhill Crematorium.

"Mereka mahu kami membantu menekankan betapa mereka trauma dan melalui pengalaman menyedihkan menghadiri pengebumian masa kini, yang mana kesedihan sudah pasti dirasakan apabila kehilangan orang tersayang."

Majlis pengebumian masih dibenarkan untuk diadakan ketika wabak koronavirus, namun terhad kepada 30 orang dan aktiviti seperti nyanyian atau bermain alat yang ditiup harus dielakkan.

Peraturan penjarakkan sosial bagi keluarga berlainan rumah masih digunapakai. -MetroUK

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain