SEMEMANGNYA diketahui India antara negara yang mencatatkan jumlah kes Covid-19 yang tinggi di dunia. Setakat ini, India merekodkan 7.6 juta kes Covid-19 dengan angka kematian mencecah 115,000. Namun dalam usaha memerangi pandemik itu, tersebar visul mengejutkan di sebuah hospital kerajaan di daerah Salem di selatan India apabila kelihatan tikus berkeliaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang menempatkan pesakit wabak itu. Visual yang dirakam pesakit di hospital itu kelihatan pesakit dan penjaga yang bersesak dalam wad berkenaan di mana lebih seorang tidur di sebuah katil, manakala ada juga yang terpaksa tidur di lantai. Kehadiran beberapa tikus berkeliaran di sekeliling ICU, melompat atas beberapa peralatan dan berada dekat dengan pesakit amat membimbangkan. Video yang viral itu juga telah menimbulkan beberapa persoalan berkaitan rawatan yang diberikan kepada pesakit di hospital kerajaan, termasuk tahap kebersihan dan risiko kesihatan yang dihadapi pesakit terlibat. Malahan ada juga yang mempertikaikan apa yang akan dilakukan hospital itu jika haiwan itu menggigit bekas bekalan oksigen di ICU berkenaan. Bagaimanapun, sebaik visual itu menjadi viral, pihak hospital memberi jaminan tindakan sewajarnya akan diambil bagi menangani masalah itu apabila mula memasang perangkap haiwan berkenaan hingga dapat menangkap kira-kira 50 ekor tikus.- Indiatoday.in Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!