PEWARIS takhta diraja Britain, Putera William menyifatkan siasatan terhadap kes yang mendakwa ibunya, Puteri Diana diperdaya ketika mendiang bersetuju untuk menyertai wawancara bersama BBC pada 1995, sebagai 'langkah ke arah kebenaran'. BBC telah berjanji untuk 'mencari kebenaran' mengenai dakwaan yang menyelubungi wawancara program Panorama bersama Puteri Diana, 25 tahun lalu itu. Istana Kensington dalam satu kenyataan mengatakan bahawa Putera William 'dengan senang hati menyambut baik siasatan berkenaan'. Menurut kenyataan itu, Putera William menambah: "Penyiasatan bebas adalah langkah ke arah kebenaran. "Ia diharap dapat membongkar kebenaran di sebalik tindakan wawancara oleh Panorama dan tindakan yang diambil pihak BBC pada masa tersebut," kata Putera berusia 38 tahun itu dalam kenyataan berkenaan. Sebelum ini, abang kepada Puteri Diana mendakwa wartawan program Panorama yang mengendalikan sesi wawancara itu, Martin Bashir menunjukkan dokumen palsu untuk memujuk Puteri Diana. Laporan terbaharu mendakwa Bashir, 57, menggunakan cara tidak jelas untuk memujuk Diana mendedahkan rahsianya. Dalam wawancara pada November 1995, Puteri Diana mengejutkan dunia apabila membuat pendedahan mengenai perkahwinannya bersama Putera Charles yang musnah. Puteri itu juga mendedahkan wujud pihak ketiga di dalam perkahwinannya, merujuk kepada hubungan suaminya, Putera Charles dengan Camilla Parker-Bowles. Pada masa itu, Puteri Diana sudah berpisah dengan Putera Charles tetapi belum bercerai. Hampir 23 juta orang menonton wawancara berkenaan. Puteri Diana meninggal dunia pada 31 Ogos 1997, ketika berusia 36 tahun, dalam satu kemalangan kereta di Paris. - BBC.Com Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!