suria

Kecoh pakai gelang pink di stesen minyak, warga emas buat laporan polis kerana didakwa ingkar kuarantin

Gambar lelaki warga emas memakai gelang merah jambu yang tular.

SEORANG lelaki warga emas berusia 69 tahun membuat laporan polis terhadap seorang pengguna media sosial kerana mendakwanya melanggar perintah kuarantin Covid-19.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, seorang individu yang tidak dikenali merakamkan gambar lelaki berkenaan ketika mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Masjid Tanah di Alor Gajah, kira-kira pukul 10 pagi Sabtu (23 Januari).

"Lelaki itu didakwa memakai gelang meraj jambu dan melanggar protokol kuarantin oleh seorang individu yang memuat naik gambar tersebut di media sosial.

"Ini membuatkannya berang kerana dia sebenarnya dalam perjalanan ke Hospital Alor Gajah untuk memotong gelang tersebut selepas menjalani kuarantin sejak 13 Januari lalu," kata Arshad.

Beliau berkata, pengadu dalam perjalanan ke Hospital Alor Gajah bersama isteri dan anak perempuannya ketika foto tersebut dirakamkan.

Pengadu membuat laporan polis pada pukul 1 petang Ahad (24 Januari) di Balai Polis Masjid Tanah bagi menafikan dakwaan pada posting berkenaan.

Arshad berkata, anak lelaki pengadu memaklumkan gambar pengadu pada posting Facebook semasa berada di rumahnya di Pengkalan Balak, pagi Ahad.

Beliau menambah, dia turut menjelaskan sebab berhenti di stesen minyak sebelum memotong gelangnya di hospital.

Dilaporkan, pengadu terpaksa berhenti di stesen minyak dalam perjalanan ke hospital kerana keretanya kehabisan minyak.

"Polis juga akan merakamkan keterangan pengguna Facebook berkenaan," tambahnya. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain