suria

Remaja bersalin ketika sedang duduki peperiksaan, kembali semula ke sekolah sejam kemudian untuk sambung jawab soalan

Remaja perempuan berkenaan melahirkan seorang bayi lelaki secara normal dan tidak mengalami komplikasi. Foto: Sadat Mbogo

SEORANG pelajar berusia 13 tahun melahirkan bayi lelaki ketika sedang menduduki peperiksaan.

Kejadian berlaku di Sekolah Rendah St Balikuddembe, Wad Jalamba di daerah Mpigi, Uganda pada Rabu lalu, lapor Daily Monitor.

Guru besar sekolah berkenaan, Godfrey Ssemanda memberitahu media tempatan bahawa gadis itu melahirkan bayinya ketika sedang menjawab kertas Matematik, tetapi pengawas peperiksaan memberinya 45 minit masa tambahan untuk menyelesaikannya kemudian.

"Ketika sedang menjawab soalan, pelajar itu memaklumkan pengawas peperiksaan mengenai keadaannya dan kemudian segera menghantarnya ke pusat perubatan berdekatan," kata Ssemanda.

Hanya satu jam selepas meninggalkan bilik peperiksaan, murid itu kembali semula ke sekolah untuk menyelesaikan ujiannya, sekaligus mengkagumkan keluarga dan pengawas yang menghantarnya ke hospital sebelum itu.

"Selepas selesai menjawab peperiksaan, dia dibenarkan kembali ke klinik untuk bersama bayinya," kata Ssemanda lagi.

Seorang jururawat di pusat perubatan tersebut mengatakan remaja berkenaan bersalin secara normal dan tidak mengalami komplikasi.

"Dia bernasib baik kerana tidak mengalami komplikasi. Keadaan ibu dan bayinya baik-baik saja," katanya. - Dailystar

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain