SEORANG wanita terkejut dan tidak menyangka dia diusir dari sebuah restoran hanya kerana menyusukan bayinya. Kejadian itu berlaku di Restoran Greek Islands di Anacortes, Washington, di mana Ruby Meeden dan suaminya, Aaron telah merancang untuk bertemu dengan keluarga mereka dan menikmati makan malam. Sementara menunggu ahli keluarga yang lain tiba, anak lelaki mereka, Rhett, yang berusia tiga hari, merengek kelaparan dan Ruby mula menyusukannya. "Ketika menyusukan Rhett, saya menutupnya dengan kain dan kami duduk menghadap dinding," kata Ruby. Namun, tidak semena-mena pemilik restoran menghampiri meja mereka dan menghalau tiga beranak itu pergi tanpa memberi apa-apa penjelasan, dan hanya memberitahu agar jangan kembali lagi ke restorannya. Selepas episod memalukan itu, Aaron meninggalkan ulasan di dalam talian (online) atas pengalaman buruk mereka di restoran berkenaan. Pemilik restoran itu membalas ulasan Aaron dan menggelar isterinya sebagai 'haiwan' selain turut menghina bayi mereka. "Jangan datang ke restoran saya untuk menyusukan bayi anda," balasnya. Setelah hantaran tersebut menjadi viral, sekumpulan ibu yang berang menganjurkan demonstrasi di luar restoran berkenaan kerana tindakannya yang memalukan dan bersifat diskriminasi. - India.com Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI TONTON VIDEO PILIHAN!