SEORANG penyelam skuba tidak dapat menahan emosi selepas dia menemui mayat di dalam sebuah kereta yang tenggelam di dasar sungai, yang dikaitkan dengan kes kehilangan dua remaja 21 tahun lalu. Erin Foster, 18, dan rakannya Jeremy Bechtel, 17, hilang selepas menghadiri parti bersama-sama dekat Sparta, Tennessee, pada 3 April 2000. Mereka kali terakhir dilihat di dalam kereta Erin, sebuah model Pontiac 1998, yang kini ditarik keluar dari Sungai Calfkiller selepas ditemui oleh penyelam skuba dan YouTuber, Jeremy Sides, minggu lalu. Polis mengesahkan terdapat mayat manusia ditemui di dalam kereta tersebut dan kes itu telah dibuka semula selepas dua dekad berlalu tanpa petunjuk. Selepas penemuan tersebut, Sides tidak dapat menahan air matanya. "Saya kehilangan kata-kata. Saya gembira dapat menemui mereka tetapi saya juga sangat sedih kerana di situlah nyawa mereka berakhir. "Saya tidak percaya sudah lebih 20 tahun mereka berada di sana menunggu seseorang untuk mencari dan saya gembira saya melakukannya," kata Sides. Walaupun mayat sudah ditemui, namun identiti mangsa masih belum dikenal pasti secara menyeluruh. Pihak berkuasa menjangkakan proses tersebut menjadi satu cabaran besar kerana mayat berada di dalam air untuk tempoh yang sangat lama. - Dailystar Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI