KEMENTERIAN Haji dan Umrah Arab Saudi menetapkan selang masa 10 hari antara dua ibadah umrah untuk pengeluaran permit bagi semua peringkat usia jemaah. Jemaah yang sudah mendapat permit untuk menunaikan ibadah umrah, boleh membuat tempahan untuk umrah kedua melalui aplikasi Eatmarna atau Tawakkalna pada akhir tempoh 10 hari selepas menunaikan umrah pertama, jelas kementerian itu di Twitter. Menurut kementerian tersebut, keputusan dibuat sebagai langkah berjaga-jaga disebabkan pandemik Covid. Protokol kesihatan juga dilaksanakan semula seperti memakai pelitup dan mengekalkan jarak selamat di Masjidil Haram, Makkah serta Masjid Nabawi, Madinah. Tindakan itu didorong lonjakan kes jangkitan Covid-19 terutama penularan varian Omicron yang semakin meningkat. Sebelum ini, kerajaan Saudi menetapkan selang masa 15 hari antara dua umrah, namun ia dibatalkan pada Oktober lalu selepas pelonggaran sekatan Covid-19. Ini termasuk membenarkan had kapasiti penuh untuk jemaah berusia 12 tahun dan ke atas menunaikan solat di kedua-dua masjid suci dan menziarahi Raudhah di Masjid Nabawi mulai 17 Okt. Kementerian itu mengumumkan jumlah permit unrah yang dikeluarkan setiap hari mencapai 64,000 manakala purata permit harian untuk solat di Masjidil Haram kini sebanyak 71,000. - Saudi GazetteDapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI