SEORANG lelaki yang dipercayai cuba merompak sebuah bank di Rom terpaksa diselamatkan selepas tertimbus di bawah runtuhan tanah ketika ahli kumpulannya cuba menggali terowong sedalam enam meter. Dia bagaimanapun berjaya diselamatkan dari runtuhan yang berlaku berhampiran Vatican. Difahamkan, anggota bomba mengambil masa lapan jam untuk menggalinya keluar dari bawah Via Innocenzo XI. Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu bersama empat rakannya sedang bersiap sedia dengan rancangan untuk merompak bilik kebal bank berhampiran dengan menggali terowong yang bermula berhampiran sebuah kedai kosong. Terowong yang digali kumpulan terbabit. Foto AFP Bagaimanapun, semasa ingin menjayakan rancangan, terowong yang digali tiba-tiba runtuh dan menimbus salah seorang ahli. Menurut media Itali, ekoran kejadian itu salah seorang daripada empat rakan subahatnya yang berjaya melarikan diri dari runtuhan terowong menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan. Lelaki itu kemudian dibawa ke hospital dan mengalami kecederaan parah namun tidak mengancam nyawa. - Malay Mail Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI