MENJIJIKKAN! Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun terkejut selepas melihat corong alat dispenser sos McDonald's Cheltenham, Gloucestershire, dipenuhi ulat. Menerusi rakaman video yang dibuat, kelihatan beberapa ekor ulat sedang merayap di dalam bekas plastik jernih berisi sos. Pada masa kejadian, dia dan ibunya yang berusia 34 tahun ingin menikmati hidangan Chicken McNuggets namun hasrat itu terbantut selepas melihat ulat memenuhi bekas sos. Disebabkan geli dan enggan berada di dalam restoran makanan segera itu, ibunya Carly Ormerod lantas mengajaknya keluar selepas membuat rakaman video di bahagian sos berkenaan. Susulan tindakannya itu, pekerja restoran berkenaan berkerumun di sekeliling dispenser bagi melihat kejadian yang berlaku. Terdahulu, video rakaman itu dimuat naik di media sosial dengan pihaknya menuntut penjelasan daripada McDonald's. Menerusi kapsyen, Carly menyatakan dia ke bandar bersama anak perempuan dan rakannya untuk menikmati teh dan kek sebelum memilih McDonald's sebagai destinasi. "Tiba-tiba anak perempuan saya datang semula dan menyatakan terdapat ulat di dalam muncung sos. Saya andaikan terdapat kira-kira 30 hingga 40 ekor ulat di ruangan tersebut. "Ia agak menjijikkan. Terdapat lalat dan ulat di situ dan pastinya ia berada di sana untuk tempoh lama sehingga dapat membiak dengan banyak. "Kejadian itu menyebabkan saya tertanya-tanya sama ada kakitangan McDonald's pernah membersihkan bekas sos tersebut yang kebanyakannya beroperasi 24 jam," luahnya. - Metro.co.uk Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI