TEKA-TEKI kesakitan perut berterusan yang dialami seorang wanita dari Kerala, India, akhirnya terjawab, selepas doktor mengesahkan sebilah gunting tertinggal di dalam perutnya. Gunting sepanjang 11 sentimeter (cm) itu dilaporkan tertinggal di dalam perut Harsheena Ashraf selepas dia menjalani pembedahan caesarean, lima tahun lalu. Semuanya bermula pada November 2017 apabila dia dimasukkan ke Kolej Perubatan Kozhikode untuk bersalin cahaya mata ketiga. Selepas pembedahan, dia mengalami keletihan dan kesakitan yang melampau. "Walaupun beberapa kali membuat pemeriksaan, kesakitan saya tidak berkurang. Akibat kesakitan yang tidak tertanggung, saya sekali lagi pergi ke hospital dan apabila imbasan CT (Computed Tomography) dijalankan, saya diberitahu bahawa ada objek logam di dalam perut saya. "Kemudian saya diberitahu, objek tersebut adalah gunting," kata Harsheena. Dia dimasukkan ke hospital yang sama bagi menjalani pembedahan untuk mengeluarkan gunting berkenaan. Harsheena kini telah membuat aduan kepada Menteri Kesihatan Kerala susulan penderitaan yang terpaksa dilaluinya akibat kecuaian perubatan. Menteri Kesihatan sudah mengarahkan satu siasatan dijalankan selain memberi jaminan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah. - India.com Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI